Pakar Sakit Tuan dan Kesihatan Reproduktif Lelaki dan Wanita dan Ketua
Klinik Pakar, Pusat Kepakaran Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
SEBELUM ini apa juga topik lelaki yang diperkatakan oleh rakan-rakannya, sedikit pun tidak dihiraukan Azrul.
Tetapi, entah mengapa sejak terbaca rencana di sebuah majalah beberapa
hari yang lalu, tiba-tiba hatinya terdetik dan mula dipaut kebimbangan.
Sekalipun Azrul sehingga kini belum lagi menghadapi sebarang masalah
kesihatan yang membabitkan masalah `kelelakiannya', tetapi kali ini dia
benar-benar resah.
Jika tiada aral melintang, Azrul, 26, bakal mendirikan mahligai bahagianya dalam tempoh sebulan saja lagi.
Bagi Azrul, sebulan bukanlah satu tempoh yang panjang. Pejam celik masa
berlalu seakan-akan tidak terasa bahawa dia akan diijabkabulkan dengan
gadis pilihan yang seuniversiti dengannya.
Semakin difikirkan, semakin dia gelisah.
Emosinya makin lama makin terganggu. Persoalan yang bermain-main di
fikirannya ketika ini ialah mampukah dia memuaskan `kehendak' bakal
isterinya nanti.
Pada Azrul, benarkah saiz `anu' seseorang lelaki boleh dijadikan ukuran dalam menentukan kebahagiaan rumah tangga.
Bagi memuaskan hati, Azrul mendapatkan pandangan profesional untuk menghuraikan `kemelut' yang melanda fikirannya.
DR. ISMAIL: Isu kesihatan lelaki yang tidak putus-putus diperbincangkan
oleh mana-mana lelaki seluruh dunia ialah soal panjang dan pendeknya
anggota kemaluan mereka.
Jika wanita sibuk membicarakan soal buah dada, lelaki pula sibuk bercakap tentang kemaluan mereka.
Jika ditinjau pada laman web berkaitan dengan perkara pembesaran zakar,
lebih 50 peratus laman web yang membincangkan isu tersebut secara
terbuka termasuk rawatannya.
Bagaimanapun, laman web tersebut hanyalah laman web komersial yang
kebanyakannya memperkenalkan alat untuk membantu membesarkan zakar.
Ini termasuklah pam vakum atau alat penile extender, alat penarik zakar
dan pil-pil herba yang kononnya dapat membesarkan tisu dalam zakar ke
tahap yang diinginkan lelaki.
Ada juga laman web yang menawarkan rawatan pembedahan untuk pembesaran zakar.
Tinjauan rambang yang pernah dilakukan di Amerika Syarikat (AS) dan
beberapa buah negara lain berkenaan pendapat pasangan wanita tentang
saiz dan bentuk zakar serta bandingan kepada teknik persetubuhan,
mendapati lebih 60 peratus wanita Barat rasa tidak puas hati tentang
saiz dan bentuk zakar pasangan lelaki mereka.
Lebih 70 peratus daripada mereka menyatakan antara teknik bersetubuh
dengan saiz zakar, mereka memilih teknik bersetubuh. Ini kerana mereka
lebih selesa dengan sentuhan intim dan tumpuan pasangan kepada mereka
daripada sentuhan kasar pasangan yang mementingkan diri sendiri.
Satu kajian yang pernah dilakukan di Universiti Kebangsaan Singapura
tentang saiz zakar lelaki keturunan Cina, Melayu dan India mendapati,
kesemua lelaki tersebut mempunyai saiz zakar yang berukuran lebih kurang
12 sentimeter dan lilitan 11 sentimeter semasa terangsang. Ia lebih
daripada mencukupi untuk melakukan hubungan seksual tanpa keraguan
tentang kekurangan anggota kelamin mereka. Dalam kajian yang sama juga
didapati saiz zakar dalam keadaan tidak menegang tertakluk kepada
beberapa faktor.
Antaranya, kesihatan lelaki, keadaan minda, tahap rangsangan, kekerapan melakukan hubungan seksual dan umur lelaki itu.
Sehubungan itu, keadaan zakar waktu terangsang dan pada waktu tidak terangsang berubah-ubah dengan faktor tersebut.
Sebagai contoh, lelaki yang kerap melakukan hubungan seksual, akan
mendapati anggota kelaminnya sentiasa tegap dan mantap, jika
dibandingkan dengan lelaki yang kurang melakukan hubungan kelamin.
Ini adalah perubahan semula jadi. Secara umum, saiz zakar lelaki Cina
dalam keadaan tidak terangsang ialah 8.3 sentimeter dari segi ukuran
lilit zakar dan 8 sentimeter panjang. Lelaki India, 8.8 sentimeter dari
segi ukur lilit dan 8.4 sentimeter panjang. Manakala, lelaki Melayu 8.6
sentimeter dari segi ukur lilit dan 7.8 sentimeter panjang.
Bagaimanapun, lelaki Barat mempunyai kepanjangan 9.71 sentimeter dari segi ukur lilit dan 8.85 sentimeter panjang.
Kajian yang pernah dilakukan di unit urologi di beberapa buah klinik
urologi swasta dan kerajaan tentang saiz zakar ketika dalam keadaan
tegang (ketegangan dilakukan dengan menyuntik ubat pengembang otot
zakar) mendapati, purata saiz zakar yang terpanjang ialah 16 sentimeter
dan yang terpendek 8 sentimeter.
Zakar terpanjang yang pernah diperiksa di sebuah klinik sakit tuan ialah
24 sentimeter dan ukur lilitnya 16 sentimeter. Namun, lelaki tersebut
bermasalah untuk bersetubuh dengan pasangan wanitanya. Terdapat juga
lelaki yang mempunyai zakar yang kurang daripada ukuran tersebut dan
bermasalah ketika melakukan persetubuhan.
Bagaimanapun, kehamilan masih boleh berlaku akibat pancutan air mani di permukaan pintu faraj sekalipun tanpa tusukan.
Mengikut kajian Universiti Kebangsaan Singapura, perasaan kurang yakin
tentang saiz dan bentuk zakar sedikit sebanyak mempengaruhi tahap
ketegangan zakar. Justeru, tidak hairanlah jika zakar itu kelihatan
tidak mantap atau kecil daripada biasa. Kajian pakar kesihatan seksual
berkaitan dengan teknologi pembedahan pembesaran zakar mendapati, lelaki
yang tidak puas dengan saiz dan bentuk zakarnya tidak akan rasa puas
tentang hasil yang didapatinya selepas menjalani prosedur pembesaran
zakar.
Walaupun saiz dan zakarnya telah meningkat 10 hingga 25 peratus,
mengikut kemampuan hasil yang diberikan oleh prosedur tersebut. Lelaki
tersebut akan berjumpa doktor lain untuk tujuan yang sama dan sudah
tentu tidak akan rasa puas juga.
Lelaki perlu tahu bahawa fungsi anggota kelaminnya ialah untuk
menyalurkan air mani ke dalam faraj pasangannya untuk mendapatkan
zuriat.
Zakar yang berukuran 6 sentimeter dalam keadaan tegang dapat disalurkan
ke dalam faraj dan berkemampuan menyalurkan air mani ke dalam faraj.
Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes pasangan kelamin yang mengalami
masalah kesuburan, saya mendapati zakar suaminya terencat (lebih kurang
3 sentimeter sebelum menegang dan 5 sentimeter semasa menegang) dan
menghasilkan bilangan sperma yang banyak.
Isterinya berjaya hamil selepas masalah ovulasi dapat diatasi. Sehingga
kini tidak pernah menyatakan ketidakpuasan hatinya berhubung kelamin
suaminya yang kecil. Isu zakar kecil tidak timbul sama sekali untuknya.
Isu ketidakpuasan wanita sebenarnya jarang berlaku kerana 1/3 bahagian
faraj wanita di bahagian luar sahaja yang mempunyai rasa.
Kebanyakan bahagian sensitif wanita terletak dekat luar dan bukan jauh
ke dalam faraj. Maka tidak hairanlah jika wanita tadi tidak rasa ralat
kerana saiz zakar suaminya.
Mengikut pengalaman beberapa wanita yang mempunyai banyak kekasih
lelaki, mereka lebih selesa dengan kekasih lelaki yang mempunyai saiz
zakar yang sederhana daripada saiz zakar yang besar.
Mereka juga mendapati kekasih yang suatu ketika dahulu mempunyai zakar
yang kurus dan kurang mantap, lama-kelamaan menjadi lebih padat dan
mantap, kerana anggota itu kerap digunakan.
Jadi kekerapan penggunaan zakar memantapkan saiz dan bentuk zakar.
Malah, lelaki yang kerap mengurut zakar dengan minyak mendapati
ketegangan zakarnya mantap dan membesar 1 hingga 2 sentimeter dalam masa
2 hingga 3 bulan, jika tidak diteruskan.
Sama seperti lelaki yang menggunakan alat pam vakum selama setahun
lebih, mendapati ketegangan zakarnya akan meningkat antara 2 hingga 4
sentimeter dari segi ukuran panjang atau ukuran lilitan. Bagaimanapun,
ia tidak kekal dan akan menurun jika lama tidak menggunakannya.
Kesan sampingan berkaitan dengan penggunaan pam tersebut ialah melecet,
kulit menebal, memanjang, boleh lebam jika penggunaan lebih setengah jam
dan dalam keadaan penggunaan yang keterlaluan, otot zakar boleh rosak
dan menjadi keras.
Jadi mustahak untuk mendapat nasihat doktor terlebih dahulu dan
pemeriksaan susulan dilakukan oleh doktor supaya perkara yang tidak
diingini tidak berlaku.
Zakar yang kecil akibat kekurangan hormon testosteron boleh diatasi
dengan pengambilan hormon tersebut. Keadaan ini dikenali sebagai
hipogonadisme.
Pengambilan hormon testosteron perlu dalam kawalan doktor kerana ada
kesan sampingan. Terdapat beberapa herba yang menghasilkan `testosteron'
secara semula jadi yang dapat membantu memantapkan zakar. Tongkat ali
ialah herba yang mempunyai fungsi yang sedemikian. Ia tidak berkesan
kepada lelaki yang belum baligh. Ia berkesan kepada lelaki yang
mempunyai tahap hormon testosteron yang normal (rendah).
Pembedahan untuk pembesaran zakar melibatkan penambahan otot kepada
zakar dan tisu selaput untuk meningkatkan ukuran lilitan zakar. Untuk
ukuran panjang, pembedahan seperti memotong ligamen zakar boleh
dilakukan dan zakar akan kelihatan terjuntai dan `panjang'. Bagi lelaki
yang tidak puas dengan saiz zakar, jangan melakukan perkara yang boleh
merosakkan fungsi zakar seperti mendapat nasihat dan rawatan orang yang
tidak bertauliah. Berjumpalah pakar dan dapatkan maklumat yang tepat.